Make your own free website on Tripod.com

Banner 10000052

EKSPEDISI MENDAKI GUNUNG FUJI :-)

    Pada tahun 1998 seramai 15 orang pelajar ( 9 lelaki dan 6 perempuan ) telah menyertai ekspedisi menawan puncak Gunung Fuji yang telah dianjurkan oleh Kelab UMNO Jepun. Ekspedisi itu telah diadakan pada 15 & 16 Ogos yang lalu. Pada jam 8.20 pagi 15 Ogos waktu jepun, semua peserta telah berkumpul di Stesen Bas Shunjuku dan kami bertolak dari situ pada jam 8.45 pagi. Kesesakan lalulintas telah menyebabkan kami tiba pada jam 12.00 tengahari di Stesen Ke 5 Gunung Fuji bahagian Yamanashi Prefecture iaitu lewat satu jam daripada yang dijangkakan.

    Di atas persetujuan ramai, kami telah memulakan pendakian pada jam 1.30 tengahari. Peserta tidak diberikan masa yang lama untuk berada di Stesen Ke 5 memandangkan kami perlu mendaki lebih awal kerana cuaca yang tidak begitu baik. Pendakian kami dimulakan dengan bacaan doa oleh salah seorang peserta memohon pada Tuhan agar pendakian kami dijauhkan dari segala malapetaka. Dengan semangat yang berkobar-kobar kami memulakan pendakian dan berhasrat untuk sampai di puncak sebelum malam tiba. Kami telah dinasihatkan agar jangan sekali-kali mendaki seorang diri tetapi seboleh-bolehnya cuba untuk mendaki bersama-sama sehingga ke puncak.

    Perjalanan dari Stesen Ke 5 ke Stesen Ke 6 tidak memakan masa yang lama. Di Stesen Ke 6 kami telah diedarkan peta oleh pihak yang bertanggungjawab dan kami dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa dalam pendakian menuju ke puncak kerana cuaca kurang baik. Di dalam perjalanan ke stesen seterusnya, tidak banyak yang dapat dilihat kerana kabus tebal yang menyelubungi. Cuma sekali-sekala bila kabus hilang dibawa angin. ketika itulah kami sibuk mengambil gambar untuk dijadikan kenangan.

    Lebih kurang jam 7.15 malam kami tiba di Stesen Ke 8 dan di situ kami berbincang samada mahu menruskan perjalanan ataupun berhenti rehat seketika dan seterusnya menyambung pendakian pada tengah malam seperti yang banyak dilakukan oleh pendaki-pendaki Jepun yang lain. Keputusan ramai diambil agar kami meneruskan pendakian walaupun hanya bertemankan 2 buah lampu suluh sebagai pemandu jalan. Dari Stesen Ke 8 menuju ke puncak, kami telah berpecah kepada 2 kumpulan untuk melancarkan pendakian. Malam yang gelap gelita dan angin yang bertiup semakin kencang serta hujan rintik-rintik yang turun tidak menghalang kami untuk meneruskan pendakian.

    Kami saling memberikan semangat dan pertolongan antara satu sama lain untuk terus mendaki kerana kata sepakat telah diambil ketika di Stesen Ke 8 untuk meneruskan pendakian walau apa pun yang berlaku. Untuk berpatah balik ke Stesen Ke 8 sudah terlalu jauh, jadi masing-masing kuatkan semangat biarpun terpaksa berjalan beberapa meter dan kemudian berhenti untuk melepaskan penat. Begitulah yang kami ulangi sehinggalah tanpa kami sedari kami telahpun menjejakkan kaki di puncak Gunung Fuji. Ketika itu jarum jam telah menunjukkan ke angka 11 dan kami perhatikan semua pendaki lain yang telah sampai lebih awal sedang nenyak tidur di dalam rumah tumpangan kerana keletihan. Cuaca di puncak gunung terlalu buruk, kesejukan dirasakan mencucuk sampai ke tulang sum-sum, ditambah pula dengan angin yang bertiup kencang. Ini memaksa kami untuk terus masuk ke rumah penginapan yang ada di situ. Kami tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan tempat untuk bermalam kerana semua peserta telah diingatkan agar membawa wang yang secukupnya sebagai bayaran bermalam di rumah penginapan.

    Keesokan harinya kami telah dikejutkan oleh suara bising pendaki-pendaki lain yang baru tiba di puncak. Malangnya pagi itu disebabkan cuaca yang amat buruk, keindahan matahari terbit seperti yang diceritakan oleh pendaki-pendaki lain sebelum ini tidak dapat disaksikan oleh peseta ekspedisi kali itu. Pagi itu selepas minum pagi, kami memulakan perjalan turun ke Stesen Ke 5. Di dalam perjalanan, sekali-sekala angin yang bertiup agak kencang mengingatkan kami agar lebih berhati-hati. Peluang menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan ketika dalam perjalanan pulang tidak kami lepaskan begitu saja. Bergulung-gulung filem dihabiskan pada waktu itu sehinggalah kami tiba di Stesen Ke 5. Di situ kami mulalah sibuk membeli cenderahati untuk dijadikan kenangan dan juga hadiah buat teman di kedai-kedai cenderahati sementara menatikan bas untuk membawa kami pulang ke Stesen Shinjuku. Kami bertolak dari Stesen Ke 5 pada jam 1.00 tengahari dan sampai di Shinjuku lebih kurang jam 3.30 petang.

    Walaupun kami tidak berkesempatan menyaksikan keindahan matahari terbit dari atas puncak gunung kebanggaan masyarakat Jepun ini, tetapi kami merasa bangga kerana kami adalah salah seorang rakyat Malaysia yang telah berjaya sampai ke puncak Gunung Fuji. Kami bersyukur kepada Tuhan kerana pendakian kami telah terlaksana walaupun tidak seperti yang diharapkan. Saya selaku ketua bagi ekspedisi menawan puncak Gunung Fuji pada tahun itu begitu terharu dengan semangat yang telah ditunjukkan oleh setiap peserta dalam menjayakan ekspedisi itu. Sikap saling tolong-menolong yang ditunjukkan ini wajar dijadikan contoh kepada peserta yang akan menyertai ekspedisi seperti ini di masa akan datang,

    Ramai yang mengatakan bahawa pendakian pertama adalah pengalaman yang cukup menarik, pendakian kali kedua untuk menwan puncak Gunung Fuji hanya dilakukan oleh mereka yang 'bodoh'. Tetapi bagi saya selepas berjaya menawan Gunung Fuji untuk kali yang kedua, entah mengapa saya rasakan satu pengalaman yang berlainan sekali dan kepuasan daripada mengajak saya untuk mendakinya untuk kali yang ketiga. Oleh itu kepada yang masih belum menjejakkan kaki di puncak Gunung Fuji, gunakanlah kesempatan berada di Jepun untuk menawan puncak Gunung Fuji yang cukup dibanggakan oleh rakyatnya dan alamilah sendiri kepuasan dan pengalamannya nanti.

@

nak masukkan gambar kat sini tapi gambar belum scan lagi...sorry!!!

@

@