Pada tahun 1998 seramai 15 orang pelajar ( 9 lelaki dan 6
perempuan ) telah menyertai ekspedisi menawan puncak Gunung
Fuji yang telah dianjurkan oleh Kelab UMNO Jepun. Ekspedisi
itu telah diadakan pada 15 & 16 Ogos yang lalu. Pada jam
8.20 pagi 15 Ogos waktu jepun, semua peserta telah berkumpul
di Stesen Bas Shunjuku dan kami bertolak dari situ pada jam
8.45 pagi. Kesesakan lalulintas telah menyebabkan kami tiba
pada jam 12.00 tengahari di Stesen Ke 5 Gunung Fuji bahagian
Yamanashi Prefecture iaitu lewat satu jam daripada yang
dijangkakan.
Di atas persetujuan ramai, kami telah memulakan pendakian pada
jam 1.30 tengahari. Peserta tidak diberikan masa yang lama
untuk berada di Stesen Ke 5 memandangkan kami perlu mendaki
lebih awal kerana cuaca yang tidak begitu baik. Pendakian kami
dimulakan dengan bacaan doa oleh salah seorang peserta memohon
pada Tuhan agar pendakian kami dijauhkan dari segala
malapetaka. Dengan semangat yang berkobar-kobar kami memulakan
pendakian dan berhasrat untuk sampai di puncak sebelum malam
tiba. Kami telah dinasihatkan agar jangan sekali-kali mendaki
seorang diri tetapi seboleh-bolehnya cuba untuk mendaki
bersama-sama sehingga ke puncak.
Perjalanan dari Stesen Ke 5 ke Stesen Ke 6 tidak memakan masa
yang lama. Di Stesen Ke 6 kami telah diedarkan peta oleh pihak
yang bertanggungjawab dan kami dinasihatkan agar lebih
berhati-hati semasa dalam pendakian menuju ke puncak kerana
cuaca kurang baik. Di dalam perjalanan ke stesen seterusnya,
tidak banyak yang dapat dilihat kerana kabus tebal yang
menyelubungi. Cuma sekali-sekala bila kabus hilang dibawa
angin. ketika itulah kami sibuk mengambil gambar untuk
dijadikan kenangan.
Lebih kurang jam 7.15 malam kami tiba di Stesen Ke 8 dan di
situ kami berbincang samada mahu menruskan perjalanan ataupun
berhenti rehat seketika dan seterusnya menyambung pendakian
pada tengah malam seperti yang banyak dilakukan oleh
pendaki-pendaki Jepun yang lain. Keputusan ramai diambil agar
kami meneruskan pendakian walaupun hanya bertemankan 2 buah
lampu suluh sebagai pemandu jalan. Dari Stesen Ke 8 menuju ke
puncak, kami telah berpecah kepada 2 kumpulan untuk
melancarkan pendakian. Malam yang gelap gelita dan angin yang
bertiup semakin kencang serta hujan rintik-rintik yang turun
tidak menghalang kami untuk meneruskan pendakian.
Kami saling memberikan semangat dan pertolongan antara satu
sama lain untuk terus mendaki kerana kata sepakat telah
diambil ketika di Stesen Ke 8 untuk meneruskan pendakian walau
apa pun yang berlaku. Untuk berpatah balik ke Stesen Ke 8
sudah terlalu jauh, jadi masing-masing kuatkan semangat
biarpun terpaksa berjalan beberapa meter dan kemudian berhenti
untuk melepaskan penat. Begitulah yang kami ulangi sehinggalah
tanpa kami sedari kami telahpun menjejakkan kaki di puncak
Gunung Fuji. Ketika itu jarum jam telah menunjukkan ke angka
11 dan kami perhatikan semua pendaki lain yang telah sampai
lebih awal sedang nenyak tidur di dalam rumah tumpangan kerana
keletihan. Cuaca di puncak gunung terlalu buruk, kesejukan
dirasakan mencucuk sampai ke tulang sum-sum, ditambah pula
dengan angin yang bertiup kencang. Ini memaksa kami untuk
terus masuk ke rumah penginapan yang ada di situ. Kami tidak
menghadapi masalah untuk mendapatkan tempat untuk bermalam
kerana semua peserta telah diingatkan agar membawa wang yang
secukupnya sebagai bayaran bermalam di rumah penginapan.
Keesokan harinya kami telah dikejutkan oleh suara bising
pendaki-pendaki lain yang baru tiba di puncak. Malangnya pagi
itu disebabkan cuaca yang amat buruk, keindahan matahari
terbit seperti yang diceritakan oleh pendaki-pendaki lain
sebelum ini tidak dapat disaksikan oleh peseta ekspedisi kali
itu. Pagi itu selepas minum pagi, kami memulakan perjalan
turun ke Stesen Ke 5. Di dalam perjalanan, sekali-sekala angin
yang bertiup agak kencang mengingatkan kami agar lebih
berhati-hati. Peluang menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan
ketika dalam perjalanan pulang tidak kami lepaskan begitu saja.
Bergulung-gulung filem dihabiskan pada waktu itu sehinggalah
kami tiba di Stesen Ke 5. Di situ kami mulalah sibuk membeli
cenderahati untuk dijadikan kenangan dan juga hadiah buat
teman di kedai-kedai cenderahati sementara menatikan bas untuk
membawa kami pulang ke Stesen Shinjuku. Kami bertolak dari
Stesen Ke 5 pada jam 1.00 tengahari dan sampai di Shinjuku
lebih kurang jam 3.30 petang.
Walaupun kami tidak berkesempatan menyaksikan keindahan
matahari terbit dari atas puncak gunung kebanggaan masyarakat
Jepun ini, tetapi kami merasa bangga kerana kami adalah salah
seorang rakyat Malaysia yang telah berjaya sampai ke puncak
Gunung Fuji. Kami bersyukur kepada Tuhan kerana pendakian kami
telah terlaksana walaupun tidak seperti yang diharapkan. Saya
selaku ketua bagi ekspedisi menawan puncak Gunung Fuji pada
tahun itu begitu terharu dengan semangat yang telah
ditunjukkan oleh setiap peserta dalam menjayakan ekspedisi itu.
Sikap saling tolong-menolong yang ditunjukkan ini wajar
dijadikan contoh kepada peserta yang akan menyertai ekspedisi
seperti ini di masa akan datang,
Ramai yang mengatakan bahawa pendakian pertama adalah
pengalaman yang cukup menarik, pendakian kali kedua untuk
menwan puncak Gunung Fuji hanya dilakukan oleh mereka yang 'bodoh'.
Tetapi bagi saya selepas berjaya menawan Gunung Fuji untuk
kali yang kedua, entah mengapa saya rasakan satu pengalaman
yang berlainan sekali dan kepuasan daripada mengajak saya
untuk mendakinya untuk kali yang ketiga. Oleh itu kepada yang
masih belum menjejakkan kaki di puncak Gunung Fuji, gunakanlah
kesempatan berada di Jepun untuk menawan puncak Gunung Fuji
yang cukup dibanggakan oleh rakyatnya dan alamilah sendiri
kepuasan dan pengalamannya nanti.
@ |